Oleh Noor Atiqah Sulaiman
PUTRAJAYA : Penyertaan Bumiputera dalam sektor pekerjaan berkemahiran tinggi terutamanya dalam kumpulan profesion berpendapatan tinggi seperti akauntan profesional dilihat masih rendah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata susulan itu sektor awam dan swasta perlu bekerjasama bagi meningkatkan jumlah penyertaan Bumiputera dalam bidang berkenaan.
"Ia dilihat sejajar dengan usaha kerajaan memupuk dan mengembangkan bakat baharu bagi memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
"Kerjasama itu sangat penting dalam mempersiapkan pelajar Bumiputera membina kerjaya cemerlang di bidang perakaunan dan kewangan seterusnya membantu membuka jalan ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 sejajar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV2030)," katanya dalam ucapan ketika Majlis Memperbaharui Memorandum Persefahaman (MOU) Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dengan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) yang dibuat menerusi platform maya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin, berkata pihaknya membuat pelbagai usaha untuk meningkatkan jumlah akauntan profesional Bumiputera di Malaysia.
"Ramai pelajar yang memiliki potensi di bidang akademik tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya kekangan kewangan.
"Pembiayaan pendidikan seperti ini dilihat sebagai agen perubahan yang mampu memberikan peluang pendidikan yang dapat membantu mewujudkan masa depan yang lebih baik," katanya.
Majlis memperbaharui MOU antara Yayasan Peneraju dan ACCA adalah kesinambungan daripada kerjasama tiga tahun lalu iaitu pada 2017 yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan keberkesanan bakat Bumiputera di Malaysia melalui program pensijilan perakaunan profesional.
Pembaharuan perjanjian ini menyaksikan 1,000 lagi pelajar akan ditaja bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan.
No comments:
Post a Comment